Wednesday, April 28, 2010


Saya merujuk kepada tulisan Fauzi Asmara yang bertajuk “Pensyarah, guru jangan merungut.” Yang disiarkan di akhbar ini pada Rabu 28 April 2010.


Saya bukan seorang guru tetapi saya telah lama merasai masaalah yang mereka hadapi lantaran saya telah 31 tahun mendirikan rumah tangga dengan isteri saya yang merupakan seorang guru. Selain isteri, anak sulong, kakak ipar, abang ipar, dua orang anak saudara dan dua orang biras saya juga bertugas sebagai guru. Sepanjang masa itulah saya mengikuti segala permasaalah kerja yang isteri dan lain-lain ahli keluarga saya yang bekerjaya sebagai guru, terpaksa lalui.

Saya tidak bersetuju dengan saranan saudara Fauzi Asmara agar guru dan pensyarah tidak merungut dengan beban kerja mereka. Kita semua kena faham apa masaalah sebenar yang dirungutkan oleh para guru ini. Mereka sebenarnya merungut kerana membuat kerja yang bukan tugas sebenar. Merujuk kepada apa yang saudara Fauzi Asmara nyatakan, bahawa arwah bapa saudara membawa pulang “kerja sekolah” untuk diselesaikan di rumah dan bekerja hingga malam dan beliau tidak pernah merungut, amat menarik perhatian saya. Benar, semua guru pasti tidak merungut jika kerja yang dilakukan adalah “kerja sekolah”. Kerja sekolah seperti menanda buku murid, menyediakan rancangan mengajar, menyediakan soalan-soalan peperiksaan, menyediakan alat bantu mengajar dan lain-lain yang berkaitan dengannya adalah tugas guru dan sebahagian kerja sekolah. Selain kerja ini, seorang guru senior seperti isteri saya, belajar bagaimana hendak menggunakan komputer untuk mengikuti perkembangan pendidikan semasa. Hal ini tidak mudah untuk kebanyakan guru-guru yang telah berumur lima puluh tahun ke atas. Bagi guru muda seperti anak dan anak-anak saudara saya, mereka memerah otak untuk mencari kaedah bagi mempermudahkan pengajaran agar anak didik mereka memahami apa yang diajar. Semua ini mereka lakukan dan tidak pernah merungut kerana mereka tahu sebagai guru adalah tanggungjawab mereka untuk memberi yang terbaik kepada murid-murid. Dalam proses meningkatkan mutu profesyen ini, para guru mengorbankan banyak masa dan wang ringgit tanpa merungut.

Perkara yang menjadi rungutan para guru ialah kerja-kerja yang tidak bersangkutan dengan pengajaran seperti urusan buku SPBT, data sekolah, lapuran demi lapuran dan lain-lain urusan perkeranian sekolah yang dibebankan kepundak guru. Guru juga sering terpaksa meninggalkan kelas untuk menghadiri mesyuarat dan sebagainya. Kelihatannya seakan-akan sedikit sahaja kerja-kerja ini namun hakikatnya ia memakan terlalu banyak masa kerja dan mengorbankan masa rehat para guru. Guru yang terlibat tertekan dengan tuntutan mengejar tarikh akhir tugasan. Mereka tidak dapat berehat secukupnya lantaran kurang tidur. Mereka tidak dapat membuat persediaan yang baik untuk mengajar. Mangsa sebenar dari keadaan ini adalah murid-murid yang tidak mendapat pengajaran berkualiti dari para guru yang kepenatan.

Memang tidak dinafikan terdapat segelintir guru dan pensyarah yang menjalankan aktiviti jualan lansung dan sebagainya tetapi bilangan mereka adalah “segelintir”. Kebanyakan dari golongan ini tidak berhajat untuk kekal sebagai guru. Jiwa mereka lebih kepada mengejar kekayaan dan harta benda. Setelah berjaya mencapai impian kebanyakan mereka meletak jawatan. Guru yang merungut adalah guru sejati. Guru yang ingin memberi yang terbaik untuk anak didik mereka.

Tidak adil bagi sesiapa pun mengatakan para guru tidak pandai menguruskan masa dan tidak tahu mengutamakan kerja. Demi mengutamakan kerjalah mereka merungut untuk menarik perhatian kerajaan agar sesuatu dapat dilakukan bagi menentukan pelanggan utama sekolah yakni para pelajar mendapat pendidikan berkualiti dan terbaik. Kebanyakan yang merungut adalah guru-guru yang tidak mahu mengabaikan tanggungjawab mereka mendidik anak bangsa. Mereka tidak mahu menjalankan amanah sekadar melepaskan batuk di tangga sahaja.

Sudah sampai masanya bagi semua berhenti memandang rendah dan membuat tangapan salah terhadap guru. Ingat pesan arwah bapa Fauzi Asmara, “kita perlu taat dengan kerja kita, pasti hati akan merasa tenang.” Bagaimana hendak taat jika kita dibebankan dengan kerja yang bukan kerja kita. Inilah sebab utama hati para guru tidak tenang justeru mereka merungut.